CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sabtu, 16 Jun 2012

MENGURUSKAN HUTANG DENGAN BIJAK

Apabila kita mula berhutang, perkara utama yang perlu difikirkan ialah bagaimana untuk kita menjelaskan hutang tersebut tanpa tunggakan. Pengurusan hutang yang tidak bijak bukan sahaja memberi tekanan malahan akan menjejaskan kewangan anda di masa hadapan. Justeru, tips berikut boleh dijadikan panduan dalam menguruskan hutang anda.

1. Kenalpasti Hutang Yang Dibuat
Senaraikan jumlah hutang anda di dalam sebuah buku kecil. Misalnya pinjaman peribadi, rumah, kereta dan kad kredit. Pastikan anda mengetahui kadar faedah yang dikenakan bagi setiap pinjaman yang dibuat. Kemudian, tulis anggaran jumlah bayaran yang boleh dibayar pada setiap bulan.

2. Jangan Tangguhkan Bayaran
Elakkan daripada menangguhkan bayaran pinjaman anda pada bulan berikutnya. Ini bagi mengelakkan anda daripada berdepan dengan situasi yang lebih buruk pada bulan berikutnya. Oleh itu pastikan bayaran dibuat pada setiap bulan berdasarkan anggaran yang telah dibuat. Sebaik sahaja bayaran dibuat, pastikan anda menyimpan resit bayaran dalam sebuah fail khas bagi memudahkan anda membuat semakan. Untuk memudahkan urusan pembayaran dibuat, anda boleh menggunakan kaedah pembayaran automatik menerusi potongan gaji bulanan.

3. Elakkan Menambah Hutang
Buat masa ini jangan membuat sebarang pinjaman tambahan. Penambahan pinjaman akan membuatkan beban hutang anda semakin bertambah. Sebaiknya pastikan hutang-hutang anda dilangsaikan terlebih dahulu sebelum anda mengambil keputusan untuk membuat pinjaman lain. Jangan meminjam melebihi kemampuan anda sendiri yang akhirnya akan membebankan diri sendiri. Jangan mudah terpedaya dengan promosi-promosi pinjaman kewangan yang ditawarkan kepada anda.

4. Uruskan Kad Kredit Dengan Bijak
Biarpun anda telah menyediakan anggaran bayaran hutang kad kredit anda, jika mempunyai kewangan yang lebih, sebaiknya cuba jelaskan hutang tersebut secara total. Ini bagi mengelakkan anda menerima caj faedah kad kredit yang tinggi pada setiap bulan. Selain itu, seboleh mungkin elakkan daripada menggunakan kad kredit secara kerap terutamanya untuk membeli barangan keperluan. Pastikan kad kredit hanya digunakan untuk tujuan kecemasan sahaja.

5. Mulakan Simpanan
Mulakan pelan simpanan kewangan anda untuk mengurangkan keperluan anda meminjam bagi sebarang pembelian kecil. Anda boleh membuat simpanan bulanan melalui potongan gaji pada setiap bulan. Misalnya, dengan menyimpan RM200 sebulan di dalam akaun berasingan seperti amanah saham. Pelan simpanan ini amat berguna sekiranya anda berdepan dengan situasi yang tidak diduga, misalnya kemalangan atau kehilangan kerja pada masa hadapan.

*FG - simpan bulan ni, bulan depan dah habes..haha..

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...