Siapa suka dibohongi? Sudah pasti tiada. Biarpun begitu, setiap orang pasti pernah berbohong atau dibohongi oleh insan-insan di sekeliling mereka. Malah tidak ketinggalan pembohongan di antara suami isteri. Seperti yang kita semua sedia maklum, cara paling berkesan dalam mempertahankan hubungan suami isteri adalah kelancaran komunikasi. Yang pastinya membabitkan komunikasi yang jujur. Namun, mengapa ada di kalangan pasangan suami isteri yang takut untuk bercakap jujur..?
Pakar hubungan dan pengarang buku, Meeting Your Match: Cracking The Code To Successful Relationship, Dr. Jackie Black menjelaskan individu berbohong kepada pasangannya kerana berasa tidak selesa untuk berterus terang atau menyatakan kebenaran kerana bimbang akan implikasi negatif akibat pengakuan jujur mereka.
Dalam banyak situasi pembohongan, seringkali mulut tidak berkompromi dengan anggota tubuh yang lain. Kata-kata yang terucap mungkin kedengaran meyakinkan, namun anggota tubuh lain memberi tanda yang berbeza. Berikut 5 indikasi yang boleh dikesan menerusi bahasa tubuh ketika pasangan berbohong.
1. MENUTUP MULUT KETIKA BERBICARA
Sekiranya pasangan menutup mulut satu tangan ataupun sekadar menutupnya dengan satu jari, tandanya dia sedang membohongi anda. Ini kerana bahasa tubuh tersebut melihatkan seakan-akan mereka takut pembohongan mereka didengar oleh orang lain dan ingin mengehadkan bilangan individu yang mendengar pembohongan tersebut.
2. MENGGARU ATAU MENYENTUH HIDUNG
Begitu juga apabila suami menggaru atau menyentuh hidung ketika berbual dengan anda. Sebuah penelitian mendapati berbohong akan menyebabkan jaringan sel di daerah hidung membesar sehingga terasa gatal. Dengan erti kata lain, sentuhan atau perbuatan menggaru hidung boleh menjadi petanda si dia sedang membohongi anda.
3. MENGGARU MATA
Ketika seseorang menyatakan pembohongan, seseorang tidak akan menatap terus ke mata anda. Mereka akan mengalihkan pandangan ke arah lain kerana tatapan mata mampu mengesan kejujuran atau pembohongan kata-kata. Namun, disebabkan sikap ini sangat menampakkan pembohongan, ramai suami memilih untuk menggaru mata secara sekilas.
4. MERABA LEHER
Satu kajian mendapati perbuatan berbohong akan mewujudkan rasa geli di bahagian kulit leher. Oleh itu, seseorang cenderung untuk menarik kolar baju atau berpura-pura membetulkan kolar baju mereka kerana rasa geli yang mereka alami akibat menyatakan pembohongan. Perbuatan ini juga menunjukkan bahawa pasangan berasa tidak selesa dengan apa yang mereka tuturkan.
5. PERBUATAN YANG TIDAK SELARAS DENGAN KATA-KATA
Jika pasangan menyatakan dirinya pulang lewat malam kerana urusan kerja sambil menganggukkan kepalanya, dia memang berkata jujur. Tapi sekiranya suami menyatakan perkara yang sama namun gerakan kepalanya menggeleng atau mengelak daripada pandangan anda, itu tandanya dia sedang membohongi anda.
0 ulasan:
Catat Ulasan